Tuesday, 18 February 2014

Fenomena Cerita Cinta Ahmad Ammar


SHAH ALAM – Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar terbitan Karya Bestari yang telah mencipta fenomena bakal kembali ke pasaran, Jumaat ini.

Buku tersebut telah diulang cetak untuk kali ketiga setelah lebih seminggu kehabisan stok di pasaran.

Pengurus Besar Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharudin berkata, sambutan yang diterima atas buku tersebut sangat luar biasa ekoran pihaknya menerima tempahan sebelum buku itu diterbitkan.

“Sebenarnya, sebelum buku ini diterbitkan lagi, sudah ada fenomena itu. Kami sebagai syarikat penerbit mahu melihat pasaran. Jika terbit buku ini sejauh mana sambutan orang ramai.

“Jadi dalam proses membuat buku ini, kami keluarkan ‘cover’ buku ini dulu.  kami tak sangka dengan ‘cover’ sahaja, kami menerima 2,000 tempahan secara atas talian sedangkan buku ini belum siap lagi,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Berkongsi mengenai kandungan buku tersebut, beliau yakin pembaca bakal tersentuh dengan tulisan ibu Allahyarham Ahmad Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz.

“... yang seratus peratus amat menyentuh hati siapa saja yang membacanya. Tulisan itu menerangkan tentang apa yang ada dalam hati si ibu. Ibunya kata, dengan pemergian arwah, menghidupkan banyak lagi jiwa-jiwa lain yang akan meneruskan perjuangan Allahyarham.

“Tulisan bapanya, Ahmad Azam Abd Rahman yang berkongsi harapan beliau untuk anakandanya itu untuk menjadi pejuang... mencari kembali kegemilangan Islam untuk dibangkitkan semula,” katanya.

Allahyarham Ahmad Ammar meninggal dunia kerana dilanggar ambulans ketika melintas jalan di Istanbul, Turki, jam 1.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia), pada 2 November lalu.

Istimewanya apabila Allahyarham disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment