Thursday, 27 February 2014

Kenapa dengki saya tutup aurat?

Felixia Yeap: Kenapa dengki saya tutup aurat?

Gambar dari felixiayeap.blogspot.com

SHAH ALAM - Bekas model, Felixia Yeap mempersoalkan kenapa masih terdapat segelintir masyarakat yang dengki dan sakit hati dengan tindakannya menutup aurat.

Padahal ujarnya, beliau hanya menutup aurat sepertimana kebanyakan Muslimah sejati yang lain, tanpa mempunyai niat yang tidak baik.

"Kepada yang dengki atau benci sangat bila saya bertudung dan bertekad untuk menutup aurat seperti seorang Muslimah tanpa niat lain selain daripada mahu menutup aurat saya...

"...adakah anda akan rasa lebih gembira kalau saya tanggalkan tudung saya dan berpakaian seperti dahulu?

"Pernah tak memikirkan perasaan seseorang wanita yang disuruh tanggalkan bajunya atau hijabnya? Ianya tiada berbeza daripada mencabuli kehormatannya.

"Begitu kejam sekali nak buat pada saya? Apa salah saya?," katanya yang dipetik menerusi lama Facebooknya, semalam.

Gambar dari felixiayeap.blogspot.com

Perkongsian Yeap itu, telah menarik pelayar Facebook untuk menyokong dan memberi semangat kepada beliau.

Menurut  Abdul Nizam Khalid, ramai yang tahu bahawa menutup aurat adalah hukum wajib dalam Islam tapi hakikatnya menutup aurat adalah naluri yang fitrah bagi seorang wanita.

"Ini antara sebabnya bukan Muslim juga turut mengenakan hijab di seluruh dunia. Teruskan, anda berada di landasan yang betul," tulisnya.

Sementara Nazilah Zainal pula menyarankan agar Yeap mengabaikan kata-kata nista tersebut dan menjadi diri sendiri.

"Sayang jangan dengar cakap orang ya.. Hanya kamu tahu apa yang kamu buat. Diri kamu, bukan diri mereka. Jaga diri, semoga selalu menjaga kehormatan... Bangga dengan kamu!," tulisnya.

Ini bukan kali pertama Yeap dikritik ekoran tindakannya berhijab.

Pada awal kemunculannya mengenakan tutup kepala, ramai Muslim mengganggapnya sebagai "tidak menghormati" wanita Islam yang memakai hijab.

Mereka berkata, sebelum memakai hijab, Yeap sepatutnya membuang semua gambarnya berpakaian Playboy Bunny dan lain-lain yang mendedahkan dan seksi.

Hampir 148,000 peminat di Facebook dan blog mengkritik tindakannya dan menyifatkannya sebagai sebuah "aksi publisiti" untuk  mendapat lebih populariti dan kemasyhuran.

Ada juga yang meninggalkan laman media sosial Yeap selepas beliau berhijab.

Sumber: Sinar Harian

Monday, 24 February 2014

Jep dan Shahrol Perang Dingin

Perang Dingin Jep dan Shahrol, Ajak Tak Nafikan Atau Iyakan


Kecoh sebelum ini menerusi akhbar tempatan yang mendakwa dua orang pelawak terkenal tanah air iaitu Shahrol Shiro dan Jep Sepahtu dikatakan bergaduh dan tidak ‘sebulu’ akibat perselisihan faham yang berlaku antara mereka berdua.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh dua orang pelawak ini sehingga mencetuskan kekeliruan peminat-peminat mereka di mana Shahrol mengakui kecewa dengan Jep yang menunjukkan sikap dingin terhadap dirinya.

Namun menerusi laporan media baru-baru ini, Jep pula menafikan bergaduh dengan Shahrol dan menganggap bahawa dakwaan Shahrol tidak berasas dan tidak ada apa-apa masalah dengan Shahrol.

Bercakap kepada Astro Gempak, Ajak yang juga salah seorang teman rapat Shahrol tidak menafikan atau mengiyakan kes pergaduhan yang berlaku antara Shahrol dan Jep sebelum ini.

“Sejujurnya saya  tidak mahu dan tidak berani untuk beri sebarang komen tentang perkara ini. Tetapi sekiranya, sekali lagi saya ulang sekiranya Shahrol dan Jep bergaduh diharapkan ianya tidak berpanjangan.

“Pergaduhan antara mereka berdua  ini saya tidak mahu menafikan mahupun mengiyakan. Mungkin saya sendiri terlepas pandang tentang perkara ini. Contoh terdekat, ketika program MLM 2013 saya tidak nafikan kami para peserta sedikit tertekan kerana risau fikir pasal persiapan persembahan untuk gelanggang akhir. Mungkin dari situ muka nampak tak ceria dan buat rakan-rakan lain rasa berkecil atau terasa hati,”  jelas Ajak ketika dihubungi.

Ajak Tidak Menafikan Atau Mengiyakan Perang Dingin Shahrol dan Jep 

Tambah Ajak lagi, dia sendiri tidak mahu perkara seperti ini berpanjangan sekiranya benar ada sedikit perselisihan faham antara Shahrol dan Jep seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

“Kalau betul ada perselisihan faham antara mereka harap kedua-duanya dapat berdamai secepat mungkin sebab saya takkan perkara ini seperti menjejaskan perhubungan mereka berdua. Sebab Shahrol dan Jep sebelum ini sangat rapat dan kami mewakili pelawak kelahiran negeri Johor.

“Kami berada di bawah satu bumbung, jadi tak mahu disebabkan perkara seperti ini akan jejaskan perhubungan yang terjalin erat sejak dahulu lagi. Tapi saya percaya mereka akan berdamai dan tidak timbul isu untuk bermusuhan sampai bila-bila,” ujar Ajak mengakhiri perbualan.

Sumber: Astro Gempak

Thursday, 20 February 2014

Logik jika ada fosil

Fosil dinosaur jenis Spinosauridae dipercayai ditemui di Pahang. Sumber foto www.bbc.co.uk

TEMERLOH – Fosil dinosaur di negeri Pahang mungkin boleh ditemui di dalam jujukan batuan di kawasan Taman Negara di Jerantut, kawasan bandar Maran dan Paloh Hinai serta Taman Negara Endau Rompin.

Pegawai Kajibumi di Jabatan Mineral dan Geosains Ahmad Rosli Othman berkata, selain penemuan fosil gigi dinosaur yang dirahsiakan Universiti Malaysia (UM), fosil-fosil dinosaur yang lain juga mungkin boleh ditemui di kawasan yang disebut.

“Fosil dinosaur hanya terdapat dalam jujukan batuan di kawasan Taman Negara, kawasan Tembeling, Gunung Gagau dan kawasan bandar Maran, Paloh Hinai dan Endau Rompin.

“Kawasan ini mempunyai jujukan batuan yang menyimpan fosil tumbuhan dan dinosaur dari zaman Jurasik hingga zaman kapur ia kira-kira 60 hingga 130 juta tahun dahulu sebelum dinosaur pupus akibat hentaman meteorit ke bumi,” katanya mengulas laporan media mengenai penemuan fosil dinosaur di negeri Pahang semalam.

Ahmad Rosli berkata, dunia penyelidikan dinosaur pernah digemparkan dengan penemuan fosil dinosaur terbesar berusia 150 juta tahun di Phu Noi Kham Nuang, Thailand.

Beliau berkata, fosil amat sukar dicari secara proaktif dan biasanya penduduk tempatan akan menemui terlebih dahulu tanpa disengajakan.

“Tak mustahil negara kita menyimpan fosil seperti yang ditemui di Thailand kerana negara kita berjiran dan mempunyai batuan yang seusia.

“Saya yakin dengan sokongan yang diberikan penuh oleh kerajaan negeri Pahang selama ini akan memberikan hasil yang menakjubkan untuk dunia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Ainan Tasneem kemalangan

Ainan Tasneem kemalangan, kereta masuk longkang...


SHAH ALAM - Penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Suka Dia, Ainan Tasneem dilaporkan terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kangar, Perlis malam tadi.

Menurut Ainan melalui laman Instagram, kereta yang dinaikinya dan empat orang rakan lagi hilang kawalan disebabkan keadaan jalan yang licin dan bengkang-bengkok serta tiada lampu jalan.

Bagaimanapun, Ainan bersyukur kerana semua penumpang dan pemandu hanya mengalami kecederaan ringan walaupun kereta rosak teruk.

"Kemalangan berlaku dalam perjalanan ke Sungai Chuchuh ke Wang Ulu melalui jalan Sungai Batu Pahat. Jalan sangatlah licin.

"Kawan baik saya yang memandu kereta mengalami sedkit trauma," maklumnya menerusi laman sosial Instagram miliknya.


Ainan turut meminta pihak media supaya memberikannya sedikit masa sebelum sebelum diajukan berhubung insiden itu.


"Terima kasih di atas keprihatinan anda semua.. jujur saya sangat terharu dan menghargai. Cuma berikan sedikit masa kepada saya untuk berehat...," tulisnya.

Sumber: Sinar Harian

Wednesday, 19 February 2014

Dinosaur pernah hidup di Pahang???

MUNGKINKAH dinosaur jenis pemakan ikan ini pernah tinggal di Pahang?

KUALA LUMPUR 18 Feb. - Mungkinkah Pahang pernah menjadi tempat kehidupan untuk haiwan prasejarah dinosaur suatu ketika dahulu? Perkara itu tidak mustahil berikutan penemuan baharu di negeri tersebut.

Kumpulan penyelidik daripada Jabatan Geologi di Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mencipta sejarah apabila menemui sebatang fosil gigi dinosaur di negeri itu, sekali gus mencatat rekod penemuan pertama di Malaysia.

Penemuan itu merupakan hasil kajian bersama dua institusi pengajian tinggi Jepun iaitu Universiti Waseda dan Universiti Kumamoto.

Ketua kumpulan pengkaji, Prof. Dr. Masatoshi Sone yang mewakili UM berkata, penemuan itu adalah hasil kajian dan proses cari gali yang dilakukan sejak September 2012.

"Pada Ogos tahun lalu, kami menemukan sebatang fosil gigi dinosaur daripada spesies `Spinosaurid Therapod’ atau lebih dikenali sebagai `dinosaur pemakan ikan’ di sebuah lokasi di Pahang.

Sampel UM10575

"Fosil yang diberi nama sebagai `Sampel UM10575’ itu mempunyai ukuran 23 milimeter panjang dan 10 milimeter lebar," katanya dalam sidang akhbar berhubung penemuan tersebut di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Tuesday, 18 February 2014

Muslim di Republik Afrika Tengah dibunuh kejam?

Mari kita sama2 berdoa agar masyarakat Islam di Republik Afrika Tengah selamat dan mendapat kekuatan menghadapi dugaan ini. Harap OIC dapat berperanan dalam hal ni.


REPUBLIK AFRIKA TENGAH - Umat Islam di Republik Afrika Tengah telah menjadi sasaran militian Kristian di republik tersebut.

Sasaran tersebut telah mencetuskan tragedi berdarah, di mana telah menyebabkan kematian ramai umat Islam yang tidak bersalah dan berdosa, dedah sebuah agensi bantuan kemanusiaan.

Ekoran tragedi itu, ribuan umat Islam telah melarikan diri dari negara tersebut.

Menurut Muslim Association of Britain (MAB, Persatuan Muslim Britain), mereka sudah memberi amaran bahawa keganasan ini juga boleh membawa kepada bencana kebuluran dan keruntuhan ekonomi.

MAB turut melahirkan kekecewaan dan kebimbangan mereka mengenai pergolakan politik, keganasan dan pembunuhan yang sedang berlaku di Republik Afrika Tengah itu.

Kumpulan hak asasi manusia telah melaporkan bahawa lelaki Islam, wanita dan kanak-kanak telah menjadi sasaran secara sistematik dan dipaksa keluar daripada rumah mereka dengan kejam, dirogol dan diseksa .

Di samping itu, harta mereka telah dicuri oleh kumpulan pengganas yang dianjurkan militian Kristian, dakwa agensi itu.

Para pelarian yang melarikan diri ke negara-negara Afrika yang lain ini terdiri daripada mereka yang miskin. Kesannya, tragedi ini berpotensi menyebabkan bencana kemanusiaan dahsyat, ujar mereka.

Menurut Naib Presdien MAB, Ameena Blake, beliau memahami bahawa keganasan yang berlaku atas nama agama Kristian ini tidak bererti mencerminkan sikap majoriti Kristian di rantau itu, di mana sebahagiannya memberi perlindungan kepada umat Islam di gereja-gereja mereka.

"Kami menggalakkan orang ramai di rantau ini untuk terus menyokong satu sama lain, untuk mencegah gelombang baru pembunuhan beramai-ramai," katanya.

MAB membuat rayuan kepada kerajaan British untuk menggunakan kuasa politik mereka untuk membantu menyelesaikan krisis yang amat buruk yang mengancam Republik Afrika Tengah.

PBB telah memberi amaran bahawa 1.3 juta daripada 4.6 juta penduduk di negara ini memerlukan bantuan makanan segera. Adalah penting untuk bertindak sekarang kerana tiada siapa yang ingin melihat satu lagi negara miskin dilanda rusuhan awam dan keganasan politik.

Sumber: Sinar Harian

Fenomena Cerita Cinta Ahmad Ammar


SHAH ALAM – Buku Cerita Cinta Ahmad Ammar terbitan Karya Bestari yang telah mencipta fenomena bakal kembali ke pasaran, Jumaat ini.

Buku tersebut telah diulang cetak untuk kali ketiga setelah lebih seminggu kehabisan stok di pasaran.

Pengurus Besar Penerbitan Grup Buku Karangkraf, Sri Diah Shaharudin berkata, sambutan yang diterima atas buku tersebut sangat luar biasa ekoran pihaknya menerima tempahan sebelum buku itu diterbitkan.

“Sebenarnya, sebelum buku ini diterbitkan lagi, sudah ada fenomena itu. Kami sebagai syarikat penerbit mahu melihat pasaran. Jika terbit buku ini sejauh mana sambutan orang ramai.

“Jadi dalam proses membuat buku ini, kami keluarkan ‘cover’ buku ini dulu.  kami tak sangka dengan ‘cover’ sahaja, kami menerima 2,000 tempahan secara atas talian sedangkan buku ini belum siap lagi,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Berkongsi mengenai kandungan buku tersebut, beliau yakin pembaca bakal tersentuh dengan tulisan ibu Allahyarham Ahmad Ammar, Nur Azlina Abdul Aziz.

“... yang seratus peratus amat menyentuh hati siapa saja yang membacanya. Tulisan itu menerangkan tentang apa yang ada dalam hati si ibu. Ibunya kata, dengan pemergian arwah, menghidupkan banyak lagi jiwa-jiwa lain yang akan meneruskan perjuangan Allahyarham.

“Tulisan bapanya, Ahmad Azam Abd Rahman yang berkongsi harapan beliau untuk anakandanya itu untuk menjadi pejuang... mencari kembali kegemilangan Islam untuk dibangkitkan semula,” katanya.

Allahyarham Ahmad Ammar meninggal dunia kerana dilanggar ambulans ketika melintas jalan di Istanbul, Turki, jam 1.30 petang (7.30 malam waktu Malaysia), pada 2 November lalu.

Istimewanya apabila Allahyarham disemadikan di Perkuburan Eyub Sultan menghadap Laut Golden Horn, yang menempatkan lebih 60 jasad para sahabat nabi, auliya’, panglima Uthmaniyyah dan orang-orang kenamaan di Turki.


Sumber: Sinar Harian

Kes Penceraian Erra dan Emran


Susulan kes penceraian pelakon Erra Fazira dan Engku Emran Engku Zainal Abidin, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam telah memutuskan hak penjagaan anak diberikan sepenuhnya kepada suami.

Engku Emran selaku defendan diberikan hak penjagaan sepenuhnya terhadap anak perempuan mereka, Engku Aleesya, 5, manakala Erra diberikan hak lawatan dan bermalam selain cuti sekolah dan hari perayaan.

Dalam pada itu, pasangan berkenaan turut bersetuju untuk menyelesaikan hak penjagaan anak mereka tanpa sebarang pertikaian.

Ketika di makamah Erra juga menjelaskan permohonan cerai dibuatnya setelah mendapati tiada persefahaman dalam hubungan mereka selain tidak tinggal bersama sejak setahun lalu.

Pelakon filem ‘Hingga Hujung Nyawa’ ini juga telah memfailkan permohonan cerai dan hak penjagaan anak mereka menerusi peguam syarie, Ahmad Nazib Johari selaku plaintif pada Isnin (semalam).

Manakala Engku Emran pula diwakili peguam syarie Roslan Sujak Rafiee.

Video: Harian Metro

Tiada tuntutan nafkah dibuat oleh pelakon ini terhadap bekas suaminya.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik ketika ditemui media selepas sebutan kes tersebut mengakui berasa lega kerana segala spekulasi mengenai hal rumah tangganya selesai.

“Alhamdulillah, penceraian ini berlaku dengan baik sekali dan semuanya telah selesai,” katanya.

Engku Emran bagaimanapun enggan mengulas mengenai kes penceraian mereka.

Erra dan Emran disahkan bercerai talak satu selepas lafaz cerai dilakukan Engku Emran di hadapan Hakim Syarie, Mohammad Adib Husain kira-kira pukul 12.50 tengah hari tadi.

Monday, 17 February 2014

Kencing berdarah bukan perkara biasa

Oleh ZAITIE SATIBI

Bayangkan ketika membuang air kecil, tiba-tiba kita melihat ada darah dalam air kencing. Pastinya keadaan itu mencetuskan panik kerana perkara itu tidak pernah berlaku. Pelbagai persoalan muncul di benak dan menyebabkan kita risau apa terjadi kepada kita.

Kencing berdarah atau hematuria bukan perkara biasa yang boleh dipandang ringan. Kehadiran darah dalam air kencing mungkin kecederaan dalaman akibat melakukan senaman berlebihan atau penggunaan ubatan dan bahan kimia, tetapi ia juga gejala kepada penyakit lebih serius iaitu kanser.

Penyakit ini terbahagi kepada dua jenis, dengan yang pertama, darah dalam air kencing dapat dilihat dengan mata kasar apabila bahan kumuh itu berwarna merah atau coklat gelap (gross hematuria).

Jenis kedua pula, darah hanya dapat dikesan menerusi mikroskop oleh pemeriksaan doktor (microscopic hematuria) selepas pesakit mengadu pedih dan sakit pada kemaluan ketika membuang air kecil.

CONTOH air kencing berwarna merah atau coklat gelap akibat hematuria.

Perunding Urologi Hospital Pantai Kuala Lumpur (HPKL), Dr Muhilan Parameswaran berkata, kencing berdarah sebenarnya lebih kepada tanda bagi masalah kesihatan dan ia menunjukkan jenis penyakit dihidapi.

Oleh itu, perkara terbaik yang harus dilakukan jika menyedari kehadiran darah dalam kencing ialah segera berjumpa doktor supaya rawatan sewajarnya dapat dilakukan.

“Rawatan untuk memulihkan kencing berdarah bergantung kepada punca pendarahan berlaku. Ini kerana, kadangkala air kencing bertukar merah bukan disebabkan darah tetapi kerana senaman, pemakanan dan pengambilan ubatan.

“Biasanya, masalah air kencing berwarna merah akan hilang sendiri beberapa hari kemudian. Namun, air kencing kita tidak sewenang-wenangnya berdarah hanya disebabkan pengambilan ubatan atau senaman.

“Jadi, sebaik menyedari ada darah dalam air kencing, segera berjumpa doktor kerana penyakit ini memerlukan rawatan perubatan,” katanya.

Kencing berdarah berlaku apabila organ seperti buah pinggang, saluran tiub ureter iaitu sambungan tiub dari buah pinggang ke pundi kencing, pundi kencing, prostat dan uretra bocor dan membenarkan sel darah memasuki air kencing.

Kebocoran itu pula disebabkan seseorang menghidap penyakit seperti batu karang, jangkitan di bahagian pundi kencing atau kencing kotor, bengkak kelenjar prostat, kanser pundi kencing, kanser prostat dan kanser buah pinggang.

“Jangkitan saluran air kencing berlaku apabila bakteria memasuki tubuh melalui uretra dan membiak dalam pundi kencing.

“Gejala ditunjukkan jika terkena jangkitan seperti kerap membuang air kecil, rasa pedih seperti terbakar ketika kencing dan bau air kencing terlalu hancing.

“Bagi wanita pula, jangkitan juga biasanya disebabkan bakteria dari dubur atau faraj memasuki uretra ke pundi kencing dan membiak di situ.

“Ini terjadi apabila tabiat mereka yang suka mengelap dari belakang ke depan selepas membuang air besar, selain kemaluan wanita disentuh dengan tangan atau zakar yang kotor selepas melakukan hubungan seks.

“Jangkitan buah pinggang (pyelonephritis) juga berlaku apabila bakteria memasuki organ itu dari saluran darah dan memasuki ureter dengan gejala seperti demam dan sakit rusuk. Sakit batu karang turut menyumbang kepada kehadiran darah dalam air kenicng.

“Bagi lelaki, semakin mereka berusia, kelenjar prostat mereka akan membesar atau bengkak dan proses ini mengecilkan uretra sehingga menyekat aliran air kencing.

“Keadaan ini menyebabkan sama ada sukar membuang air kecil atau keinginan kuat untuk membuang air kecil,” katanya.

Darah dalam air kencing juga boleh berpunca daripada kecacatan dalam sel darah merah atau seseorang menghidap sel sabit pada anemia, iaitu kelainan genetik pada tubuh manusia yang diwarisi dari keluarga.

Dr Muhilan berkata, beberapa faktor boleh menyebabkan seseorang berisiko tinggi mendapat kanser pundi kencing, seperti tabiat merokok dan pendedahan beberapa jenis bahan kimia seperti bahan digunakan dalam industri pembuatan tekstil atau pewarna.

Bagaimanapun, pendedahan dalam jangka masa lama iaitu lebih 10 tahun atau kuantiti banyak diperlukan untuk membolehkan seseorang pekerja dalam industri ini mendapat kanser pundi kencing.

Oleh itu, doktor akan menjalankan ujian atau pemeriksaan bagi mengesan punca kencing berdarah untuk membolehkan rawatan mana yang sesuai dilakukan.

BATU karang juga menjadi punca kencing berdarah atau hematuria.

Perkara pertama dilakukan adalah pemeriksaan fizikal apabila doktor akan menyoal pesakit mengenai sejarah perubatan mereka.

Seterusnya, ujian air kencing akan dilakukan walaupun darah dapat dilihat secara kasar berikutan darah kadangkala hadir sekali dan jika keadaan begitu, ia tidak memerlukan penilaian lanjut.

Namun, ujian air kencing boleh menentukan sama ada seseorang itu menghidap jangkitan pundi kencing atau sakit batu karang.

“Kebanyakan pesakit kencing berdarah perlu menjalani ujian imbasan yang menghasilkan keputusan penuh dan terperinci mengenai masalah dihadapi. Mereka mungkin boleh menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan) atau ultra bunyi.

“Malah, doktor juga akan melakukan pemeriksaan sistoskopi iaitu kamera kecil dimasukkan ke dalam organ melalui tiub untuk melihat lebih dekat punca masalah. Selepas itu, rawatan bergantung pada punca kencing berdarah,” katanya.

Bagi kencing kotor atau jangkitan pundi kencing, mereka boleh dirawat sebagai pesakit luar saja. Namun jika disebabkan batu karang, ia perlu dibuang untuk mengelak bengkak pada buah pinggang.

Ada beberapa kaedah membuang batu karang dan ia bergantung pada saiz serta lokasinya.

Begitu juga dengan kanser buah pinggang, kanser prostat dan kanser pundi kencing apabila doktor akan melakukan pembedahan bagi membuang organ yang terkena kanser itu. Manakala, kelenjar prostat yang bengkak jika ia terlalu besar, bahagian yang bengkak juga perlu dibuang.

“Apapun, yang penting bagi mencegah kencing berdarah ini ialah kita perlu minum banyak air kosong. Walaupun minum air manis, adalah digalakkan berselang dengan air kosong.

“Jangan tahan kencing dan jaga kebersihan alat sulit bagi mengelak terkena jangkitan akibat bakteria,” katanya.

Sumber