Thursday, 27 March 2014

Satelit Jepun rakam 10 objek terapung, berkemungkinan MH370


KUALA LUMPUR: Agensi berita Jepun melaporkan bahawa satelit negara itu berjaya merakamkan 10 objek terapung berhampiran Australia, dipercayai berkemungkinan ada kaitan dengan  pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menurut laporan AFP, agensi berita Kyodo dan Jiji berkata bahawa objek berkenaan dilihat kira-kira 2,500km ke barat daya Perth.

Pusat Perisikan Kabinet Satelit Jepun berkata objek berkenaan dianggarkan berukuran lapan meter panjang dan empat meter lebar.

Agensi berita berkenaan juga melaporkan bahawa objek berkenaan dilihat di kawasan yang sama dimana beberapa objek lain ditemui sebelum ini.

Jiji memetik kata-kata seorang pegawai kerajaan bahawa objek berkenaan “berkemungkinan besar” adalah bangkai pesawat MH370. Jepun sudahpun menyampaikan maklumat berkenaan kepada Malaysia. - Astro Awani

Bengkel MAS di Subang terbakar


Bengkel Malaysia Airlines (MAS) di Subang terbakar pada Rabu, menambahkan lagi siri nasib malang terhadap syarikat penerbangan negara itu.

Bagaimanapun, MAS berkata, insiden pada jam 4 petang di Subang Avionics Shop itu hanya kebakaran “kecil” dan dapat dikawal serta merta.

Menurut kenyataan itu, semua kemudahan MAS mempunyai peralatan keselamatan untuk mengelakkan kecederaan dan mengurangkan bahaya.

“Keselamatan di tempat kerja sentiasa menjadi keutamaan utama Malaysia Airlines,” kata kenyataan itu. - Malaysia Kini




Satelit Thailand kesan 300 objek terapung


Satelit Pemerhatian Bumi Thailand (Thaichote) mengesan 300 objek di Lautan Hindi, kira-kira 200 kilometer daripada Barat Daya tempat carian pesawat hilang MH370.

Thailand menjadi negara kelima mendedahkan imej satelit objek terapung di kawasan sama selepas Australia, Perancis, United Kingdom dan China.

Akhbar Thailand The Nation melaporkan, imej itu diserahkan kepada perdana menteri sementaranya sebelum dimajukan kepada pihak Malaysia.

Menurut AFP, objek yang terapung itu dikenalpasti oleh Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo- Informatics Thailand.

Menurutnya, objek tersebut yang berukuran dua hingga 15 meter, bertaburan di kawasan kira-kira 2,700km barat daya Perth.

Imej-imej tersebut diambil pada 24 Mac, laporan The Wall Street Journal.

Semalam, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan satelit Perancis mengesan 122 imej dalam kawasan carian, yang berkeluasan lebih besar sedikit daripada Sabah.

Operasi mencari yang membabitkan pelbagai negara yang disambung pagi ini, dibatalkan selepas kira-kira empat jam kerana cuaca buruk di kawasan tersebut. Kapal-kapal, bagaimanapun, kekal berada di lautan itu.

The Nation melaporkan bahawa Thaichote adalah satelit 'remote sensing' untuk pemantauan sumber asli. - Malaysia Kini