Thursday, 27 March 2014

Satelit Jepun rakam 10 objek terapung, berkemungkinan MH370


KUALA LUMPUR: Agensi berita Jepun melaporkan bahawa satelit negara itu berjaya merakamkan 10 objek terapung berhampiran Australia, dipercayai berkemungkinan ada kaitan dengan  pesawat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menurut laporan AFP, agensi berita Kyodo dan Jiji berkata bahawa objek berkenaan dilihat kira-kira 2,500km ke barat daya Perth.

Pusat Perisikan Kabinet Satelit Jepun berkata objek berkenaan dianggarkan berukuran lapan meter panjang dan empat meter lebar.

Agensi berita berkenaan juga melaporkan bahawa objek berkenaan dilihat di kawasan yang sama dimana beberapa objek lain ditemui sebelum ini.

Jiji memetik kata-kata seorang pegawai kerajaan bahawa objek berkenaan “berkemungkinan besar” adalah bangkai pesawat MH370. Jepun sudahpun menyampaikan maklumat berkenaan kepada Malaysia. - Astro Awani

Bengkel MAS di Subang terbakar


Bengkel Malaysia Airlines (MAS) di Subang terbakar pada Rabu, menambahkan lagi siri nasib malang terhadap syarikat penerbangan negara itu.

Bagaimanapun, MAS berkata, insiden pada jam 4 petang di Subang Avionics Shop itu hanya kebakaran “kecil” dan dapat dikawal serta merta.

Menurut kenyataan itu, semua kemudahan MAS mempunyai peralatan keselamatan untuk mengelakkan kecederaan dan mengurangkan bahaya.

“Keselamatan di tempat kerja sentiasa menjadi keutamaan utama Malaysia Airlines,” kata kenyataan itu. - Malaysia Kini




Satelit Thailand kesan 300 objek terapung


Satelit Pemerhatian Bumi Thailand (Thaichote) mengesan 300 objek di Lautan Hindi, kira-kira 200 kilometer daripada Barat Daya tempat carian pesawat hilang MH370.

Thailand menjadi negara kelima mendedahkan imej satelit objek terapung di kawasan sama selepas Australia, Perancis, United Kingdom dan China.

Akhbar Thailand The Nation melaporkan, imej itu diserahkan kepada perdana menteri sementaranya sebelum dimajukan kepada pihak Malaysia.

Menurut AFP, objek yang terapung itu dikenalpasti oleh Agensi Pembangunan Teknologi Angkasa dan Geo- Informatics Thailand.

Menurutnya, objek tersebut yang berukuran dua hingga 15 meter, bertaburan di kawasan kira-kira 2,700km barat daya Perth.

Imej-imej tersebut diambil pada 24 Mac, laporan The Wall Street Journal.

Semalam, pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan satelit Perancis mengesan 122 imej dalam kawasan carian, yang berkeluasan lebih besar sedikit daripada Sabah.

Operasi mencari yang membabitkan pelbagai negara yang disambung pagi ini, dibatalkan selepas kira-kira empat jam kerana cuaca buruk di kawasan tersebut. Kapal-kapal, bagaimanapun, kekal berada di lautan itu.

The Nation melaporkan bahawa Thaichote adalah satelit 'remote sensing' untuk pemantauan sumber asli. - Malaysia Kini






Thursday, 27 February 2014

Kenapa dengki saya tutup aurat?

Felixia Yeap: Kenapa dengki saya tutup aurat?

Gambar dari felixiayeap.blogspot.com

SHAH ALAM - Bekas model, Felixia Yeap mempersoalkan kenapa masih terdapat segelintir masyarakat yang dengki dan sakit hati dengan tindakannya menutup aurat.

Padahal ujarnya, beliau hanya menutup aurat sepertimana kebanyakan Muslimah sejati yang lain, tanpa mempunyai niat yang tidak baik.

"Kepada yang dengki atau benci sangat bila saya bertudung dan bertekad untuk menutup aurat seperti seorang Muslimah tanpa niat lain selain daripada mahu menutup aurat saya...

"...adakah anda akan rasa lebih gembira kalau saya tanggalkan tudung saya dan berpakaian seperti dahulu?

"Pernah tak memikirkan perasaan seseorang wanita yang disuruh tanggalkan bajunya atau hijabnya? Ianya tiada berbeza daripada mencabuli kehormatannya.

"Begitu kejam sekali nak buat pada saya? Apa salah saya?," katanya yang dipetik menerusi lama Facebooknya, semalam.

Gambar dari felixiayeap.blogspot.com

Perkongsian Yeap itu, telah menarik pelayar Facebook untuk menyokong dan memberi semangat kepada beliau.

Menurut  Abdul Nizam Khalid, ramai yang tahu bahawa menutup aurat adalah hukum wajib dalam Islam tapi hakikatnya menutup aurat adalah naluri yang fitrah bagi seorang wanita.

"Ini antara sebabnya bukan Muslim juga turut mengenakan hijab di seluruh dunia. Teruskan, anda berada di landasan yang betul," tulisnya.

Sementara Nazilah Zainal pula menyarankan agar Yeap mengabaikan kata-kata nista tersebut dan menjadi diri sendiri.

"Sayang jangan dengar cakap orang ya.. Hanya kamu tahu apa yang kamu buat. Diri kamu, bukan diri mereka. Jaga diri, semoga selalu menjaga kehormatan... Bangga dengan kamu!," tulisnya.

Ini bukan kali pertama Yeap dikritik ekoran tindakannya berhijab.

Pada awal kemunculannya mengenakan tutup kepala, ramai Muslim mengganggapnya sebagai "tidak menghormati" wanita Islam yang memakai hijab.

Mereka berkata, sebelum memakai hijab, Yeap sepatutnya membuang semua gambarnya berpakaian Playboy Bunny dan lain-lain yang mendedahkan dan seksi.

Hampir 148,000 peminat di Facebook dan blog mengkritik tindakannya dan menyifatkannya sebagai sebuah "aksi publisiti" untuk  mendapat lebih populariti dan kemasyhuran.

Ada juga yang meninggalkan laman media sosial Yeap selepas beliau berhijab.

Sumber: Sinar Harian

Monday, 24 February 2014

Jep dan Shahrol Perang Dingin

Perang Dingin Jep dan Shahrol, Ajak Tak Nafikan Atau Iyakan


Kecoh sebelum ini menerusi akhbar tempatan yang mendakwa dua orang pelawak terkenal tanah air iaitu Shahrol Shiro dan Jep Sepahtu dikatakan bergaduh dan tidak ‘sebulu’ akibat perselisihan faham yang berlaku antara mereka berdua.

Apa yang menjadi tanda tanya adalah kenyataan bercanggah yang dikeluarkan oleh dua orang pelawak ini sehingga mencetuskan kekeliruan peminat-peminat mereka di mana Shahrol mengakui kecewa dengan Jep yang menunjukkan sikap dingin terhadap dirinya.

Namun menerusi laporan media baru-baru ini, Jep pula menafikan bergaduh dengan Shahrol dan menganggap bahawa dakwaan Shahrol tidak berasas dan tidak ada apa-apa masalah dengan Shahrol.

Bercakap kepada Astro Gempak, Ajak yang juga salah seorang teman rapat Shahrol tidak menafikan atau mengiyakan kes pergaduhan yang berlaku antara Shahrol dan Jep sebelum ini.

“Sejujurnya saya  tidak mahu dan tidak berani untuk beri sebarang komen tentang perkara ini. Tetapi sekiranya, sekali lagi saya ulang sekiranya Shahrol dan Jep bergaduh diharapkan ianya tidak berpanjangan.

“Pergaduhan antara mereka berdua  ini saya tidak mahu menafikan mahupun mengiyakan. Mungkin saya sendiri terlepas pandang tentang perkara ini. Contoh terdekat, ketika program MLM 2013 saya tidak nafikan kami para peserta sedikit tertekan kerana risau fikir pasal persiapan persembahan untuk gelanggang akhir. Mungkin dari situ muka nampak tak ceria dan buat rakan-rakan lain rasa berkecil atau terasa hati,”  jelas Ajak ketika dihubungi.

Ajak Tidak Menafikan Atau Mengiyakan Perang Dingin Shahrol dan Jep 

Tambah Ajak lagi, dia sendiri tidak mahu perkara seperti ini berpanjangan sekiranya benar ada sedikit perselisihan faham antara Shahrol dan Jep seperti yang dilaporkan oleh media tempatan.

“Kalau betul ada perselisihan faham antara mereka harap kedua-duanya dapat berdamai secepat mungkin sebab saya takkan perkara ini seperti menjejaskan perhubungan mereka berdua. Sebab Shahrol dan Jep sebelum ini sangat rapat dan kami mewakili pelawak kelahiran negeri Johor.

“Kami berada di bawah satu bumbung, jadi tak mahu disebabkan perkara seperti ini akan jejaskan perhubungan yang terjalin erat sejak dahulu lagi. Tapi saya percaya mereka akan berdamai dan tidak timbul isu untuk bermusuhan sampai bila-bila,” ujar Ajak mengakhiri perbualan.

Sumber: Astro Gempak

Thursday, 20 February 2014

Logik jika ada fosil

Fosil dinosaur jenis Spinosauridae dipercayai ditemui di Pahang. Sumber foto www.bbc.co.uk

TEMERLOH – Fosil dinosaur di negeri Pahang mungkin boleh ditemui di dalam jujukan batuan di kawasan Taman Negara di Jerantut, kawasan bandar Maran dan Paloh Hinai serta Taman Negara Endau Rompin.

Pegawai Kajibumi di Jabatan Mineral dan Geosains Ahmad Rosli Othman berkata, selain penemuan fosil gigi dinosaur yang dirahsiakan Universiti Malaysia (UM), fosil-fosil dinosaur yang lain juga mungkin boleh ditemui di kawasan yang disebut.

“Fosil dinosaur hanya terdapat dalam jujukan batuan di kawasan Taman Negara, kawasan Tembeling, Gunung Gagau dan kawasan bandar Maran, Paloh Hinai dan Endau Rompin.

“Kawasan ini mempunyai jujukan batuan yang menyimpan fosil tumbuhan dan dinosaur dari zaman Jurasik hingga zaman kapur ia kira-kira 60 hingga 130 juta tahun dahulu sebelum dinosaur pupus akibat hentaman meteorit ke bumi,” katanya mengulas laporan media mengenai penemuan fosil dinosaur di negeri Pahang semalam.

Ahmad Rosli berkata, dunia penyelidikan dinosaur pernah digemparkan dengan penemuan fosil dinosaur terbesar berusia 150 juta tahun di Phu Noi Kham Nuang, Thailand.

Beliau berkata, fosil amat sukar dicari secara proaktif dan biasanya penduduk tempatan akan menemui terlebih dahulu tanpa disengajakan.

“Tak mustahil negara kita menyimpan fosil seperti yang ditemui di Thailand kerana negara kita berjiran dan mempunyai batuan yang seusia.

“Saya yakin dengan sokongan yang diberikan penuh oleh kerajaan negeri Pahang selama ini akan memberikan hasil yang menakjubkan untuk dunia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Ainan Tasneem kemalangan

Ainan Tasneem kemalangan, kereta masuk longkang...


SHAH ALAM - Penyanyi yang popular menerusi lagu Aku Suka Dia, Ainan Tasneem dilaporkan terlibat dengan kemalangan jalan raya di Kangar, Perlis malam tadi.

Menurut Ainan melalui laman Instagram, kereta yang dinaikinya dan empat orang rakan lagi hilang kawalan disebabkan keadaan jalan yang licin dan bengkang-bengkok serta tiada lampu jalan.

Bagaimanapun, Ainan bersyukur kerana semua penumpang dan pemandu hanya mengalami kecederaan ringan walaupun kereta rosak teruk.

"Kemalangan berlaku dalam perjalanan ke Sungai Chuchuh ke Wang Ulu melalui jalan Sungai Batu Pahat. Jalan sangatlah licin.

"Kawan baik saya yang memandu kereta mengalami sedkit trauma," maklumnya menerusi laman sosial Instagram miliknya.


Ainan turut meminta pihak media supaya memberikannya sedikit masa sebelum sebelum diajukan berhubung insiden itu.


"Terima kasih di atas keprihatinan anda semua.. jujur saya sangat terharu dan menghargai. Cuma berikan sedikit masa kepada saya untuk berehat...," tulisnya.

Sumber: Sinar Harian